Category Archives: Persilatan

Silat, Pistol & Rogol

"Alaa..buat apa nak belajar silat? Zaman sekarang orang pakai pistol la. Tembak aje! Takde dah silat-silat ni." Seorang lelaki berbicara dengan memek muka yang sinis.

"Bak sini pistol kau aku tengok!" Tak ada pulak. Kalau dirompak orang, dia tembak pakai pistol air agaknya.

"Buat apa nak susah-susah belajar silat. Kalau ada orang nak rogol, jerit mintak tolong la. Takpun panggil polis. Senang!!!" Tutur seorang gadis pula. Di waktu yang berbeza. Di tempat yang tak sama. Aduhai ceteknya pemikiran. Kalau betullah nak selamatkan diri semudah itu, tentu takkan ada satu kes rogol pun di dunia ini. Kerana perogol semua bodoh. Merogol di tempat ramai orang. Atau merogol depan balai polis.

Untuk beberapa ketika, perasaan amarah singgah juga di lubuk hati kala mendengar kata-kata mereka ini. Mujur sekadar singgah, tidak bermastautin di situ. Kerana aku sedar yang mereka berkata begitu kerana mereka belum memahami. Atau tidak mahu. Biarlah. Aku tidak rugi apa-apa. Namun dalam redha, tercuit jua rasa terkilan di hati. Bukan kerana mereka tidak mahu belajar. Kerana aku faham minat orang pun berbeza-beza. Tapi terkilan kerana mereka itu secara tidak langsung meremeh-remehkan warisan budaya sendiri. Andai mereka mahu mengerti, pasti mereka akan menyedari betapa bermutu dan indahnya seni mempertahankan diri bangsa sendiri. Betapa ia mampu membentuk keyakinan dan disiplin diri, mempertalikan hubungan jasad dan rohani, mewujudkan kerendahan hati dan rasa kebergantungan diri pada Ilahi.

Bagi aku yang penting aku berusaha. Berusaha belajar ilmu yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri andai tiba waktu aku memerlukannya. Selamat atau tidak itu bukan kerja aku. Itu kerja Allah. Yang penting aku dah usaha. Kalau kau tak nak belajar sudahlah. Jangan lekehkan warisan budaya bangsa sendiri.

7 Comments

Filed under Persilatan