Monthly Archives: June 2006

Bahasa Inggeris Seorang Lanun

Malam semalam aku bersama rakan serumah menonton sebuah filem aksi yang bertukar menjadi filem kelakar. Oh, bukan kerana pelakonnya tidak berkualiti, lakonan mereka kira okeylah, walaupun mungkin tidaklah sehebat pelakon seperti Denzel Washington yang menjadi idola aku. Bukan juga kerana plot ceritanya kerana unsur saspens dan thriller berjaya digarap pada tahap sederhana.

Tapi yang buat aku dan kawan aku gelak sampai terbaring-baring adalah subtitlenya iaitu dialog yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu untuk memudahkan penonton tempatan yang kurang mahir berbahasa Inggeris memahaminya. Sepatutnyala, tapi jadi sebaliknya. Ayatnya tunggang-langgang, perkataannya diterjemah secara direct translation tanpa mengambil kira maksud ironis yang cuba disampaikan. Maka keluarlah ayat-ayat seperti ini:

Dialog: You’re a dead man!
Subtitle: Awak satu mayat mati!

D: Oh shit!
S: Oh tahi!

D: Damn you!
S: Empangan awak!

D: You are such a constant pig!
S: Awak memang seekor babi yang malar!


Barangkali tokei cd cetak rompak ini kerap menerima permintaan cerita yang bersubtitle. Bagi cerita yg di cetak rompak secara terus dari negara luar, subtitlenya kadang2 tidak ada. Lalu, dia pun translate la ikut apa yg dia paham. Atau mungkin pakai software translator tuh. Bagi aku yang celik bahasa inggeris sedikit ini, mungkinlah okey lagi. Bolehlah aku cuba abaikan saja teks di bawah itu. Tapi macamana dengan mereka yang tidak tahu? Yang baru hendak belajar? Tidakkah mereka didedahkan dengan satu kekeliruan yang nyata?

Mungkin lanun-lanun ini perlu melakukan anjakan paradigma. Mereka kan dah untung banyak dengan menjual cerita-cerita tanpa perlu membayar royalti atau bayaran hak pengedar. Apalah salahnya mengambil pekerja yang, katakanlah mempunyai kelulusan minima A2 dalam B.I SPM untuk jadi penterjemah. Sekurang-kurangnya dapatlah memberi khidmat kepada masyarakat, walaupun tidaklah sebesar mana pun.

Ataupun mungkin aku yang kena ubah paradigma, jangan beli cd cetak rompak lagi. Hahahaha…

5 Comments

Filed under Apa-Apa Aje

William Hang

Di rumah.

Aku sedang bernyanyi sambil cuba menghibur hati

"Dan mungkin bila nanti…
 Kita kan bertemu lagi…
 Satu pintaku jangan…."

Tiba-tiba mak mencelah dari dapur,

"Sudahlah Ngah, toksah nyanyilah. Suara kau tu bukannya sedap."

Aduh..pedih..pedih.

Kali pertama dia cakap macam tu selama lebih suku abad aku jadi anak dia. Dia dah tak tahan sangatlah tu. Hahaha…

13 Comments

Filed under Menggeletek

Bila Memandai Nak Stay Kat Ofis Sampai Malam

Beberapa minggu lepas, aku membantu seorang sahabat aku. Menanda kertas jawapan peperiksaan akhir pelajar untuk satu subjek. Harinya hari Selasa. Dateline untuk submit markah adalah hari Khamis tapi aku terpaksa siapkan hari tu juga sebab esoknya aku dah kena pergi kursus sampai hujung minggu. Silap aku juga, skrip tu dah diberi sejak minggu sebelumnya, aku yang malas.

Menjelang petang, banyak lagi yang belum habis ditanda. Kalau ikutkan, boleh saja aku bawa balik dan tanda di rumah. Tapi aku fikirkan, baik aku setelkan semua dan hantar ke rumah kawanku itu, yang terletak dalam perjalanan balik ke rumah aku. Nanti kalau aku dah balik rumah, nak patah balik ke rumah dia dah dua kali kerja. Leceh. Akhirnya aku buat keputusan untuk stay-back kat ofis sampai kerjaku itu siap.

Sibuk menanda, sedar tak sedar dah pukul 7.45. Aku pun berhenti sekejap untuk solat. Bangunan ofis aku terdiri daripada 2 blok, A dan B yang membentuk huruf L jika dipandang dari atas. Surau terletak pada kawasan pertemuan kedua-dua blok ini, di aras yang sama. Bilik aku di blok B, di tingkat paling atas, bilik paling hujung. Sewaktu aku keluar dari bilik menghala ke surau, sayup-sayup aku dengar suara orang berborak di hujung koridor sana. "Oklah" aku kata "Ada gak orang yang stay-back, takdelah aku sengsorang kat sini." Suaranya pun seakan-akan aku kenal. Tapi bila aku sampai ke kawasan surau, suara tu hilang tak semena-mena.

Aku sudah rasa oh sungguh gabra. Bila aku duduk dalam surau tu, aku dengar suara yang sama dari tempat yang aku lalu tadi. Bila aku keluar, senyap semula. Aku dah rasa nak cabut aje tapi fikir-fikir balik, aku kuatkan tekad nak habiskan kerja. Pukul 8.45, setel. Cepat-cepat aku kemas barang2. Tak nak tunggu lebih lama. Dengan jantung yang berdebar tapi gaya langkah penuh macho, aku melangkah meninggalkan bilik menuju ke lif. Aku tekan punat ke bawah. Lif yang ketika itu di ground floor perlahan-lahan naik. 1..2..3.. Lif terbuka. Aku pun masuk. Aku tekan butang G. Pintu lif tutup.

Tiba-tiba, pintu lif terbuka semula. Masih di tingkat yang sama. Seolah-olah ada orang yang tak sempat masuk tadi. Aku pandang ke luar. Memang takde orang. Aku sudah mula mengalami kecuakan tahap tinggi. Pintu lif tertutup semula. Jantung dah mula berdegup dengan kekuatan dan kelajuan bagai dipacu menggunakan minyak petrol Shell Advance. Dan masa-masa tu jugaklah, ingatan tentang cerita seram yang aku pernah tontoni seperti Dark Waters dan The Eye menerjah-nerjah kotak fikiran. Siyot betul. Aku tengok bayangan samar-samar aku pada pintu lif. Nampak aku seorang. Perlahan-lahan aku kerling ke bahu aku. Confirm takde apa-apa. Aku tengok indicator di sisi pintu lif. 2…1…alahai lambatnya nak sampai ground.

Tiba-tiba ada satu suara berbisik di sebelah telinga aku "Lambat cucu balik hari ni? Banyak kerja ye?"

Ok, aku tokok-tambah part kemuncak tu. Takde sebenarnya.

Alhamdulillah, aku selamat sampai ke ground floor, terus ke tempat parking kereta dan cabut.

Dan Jumaat lepas, aku terdengar rakan sekerja aku bercerita, walaupun aku tak menceritakan pengalaman ku itu pada dia. "Sini kena jaga-jaga sikit. Aritu makcik cleaner tu ada nampak 'benda' bertenggek kat sekian-sekian tempat. Bukan malam, siang lagi, dekat pukul 7.

Lepas ni confirm aku balik sebelum pukul 7.

4 Comments

Filed under Meremang Bulu Tengkuk

Silat, Pistol & Rogol

"Alaa..buat apa nak belajar silat? Zaman sekarang orang pakai pistol la. Tembak aje! Takde dah silat-silat ni." Seorang lelaki berbicara dengan memek muka yang sinis.

"Bak sini pistol kau aku tengok!" Tak ada pulak. Kalau dirompak orang, dia tembak pakai pistol air agaknya.

"Buat apa nak susah-susah belajar silat. Kalau ada orang nak rogol, jerit mintak tolong la. Takpun panggil polis. Senang!!!" Tutur seorang gadis pula. Di waktu yang berbeza. Di tempat yang tak sama. Aduhai ceteknya pemikiran. Kalau betullah nak selamatkan diri semudah itu, tentu takkan ada satu kes rogol pun di dunia ini. Kerana perogol semua bodoh. Merogol di tempat ramai orang. Atau merogol depan balai polis.

Untuk beberapa ketika, perasaan amarah singgah juga di lubuk hati kala mendengar kata-kata mereka ini. Mujur sekadar singgah, tidak bermastautin di situ. Kerana aku sedar yang mereka berkata begitu kerana mereka belum memahami. Atau tidak mahu. Biarlah. Aku tidak rugi apa-apa. Namun dalam redha, tercuit jua rasa terkilan di hati. Bukan kerana mereka tidak mahu belajar. Kerana aku faham minat orang pun berbeza-beza. Tapi terkilan kerana mereka itu secara tidak langsung meremeh-remehkan warisan budaya sendiri. Andai mereka mahu mengerti, pasti mereka akan menyedari betapa bermutu dan indahnya seni mempertahankan diri bangsa sendiri. Betapa ia mampu membentuk keyakinan dan disiplin diri, mempertalikan hubungan jasad dan rohani, mewujudkan kerendahan hati dan rasa kebergantungan diri pada Ilahi.

Bagi aku yang penting aku berusaha. Berusaha belajar ilmu yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri andai tiba waktu aku memerlukannya. Selamat atau tidak itu bukan kerja aku. Itu kerja Allah. Yang penting aku dah usaha. Kalau kau tak nak belajar sudahlah. Jangan lekehkan warisan budaya bangsa sendiri.

7 Comments

Filed under Persilatan